Isnin, 30 Mei 2011

WALLPAPER

Entah macam mana tangan ni gatal godek sana, godek sini dekat dalam design blog ni. Sebelum ni usah ke usik, nak tala arrow mouse ke butang 'Design' tu pun gua tak lalu.

Lepas tu gua jumpa macam macam gambar. Gambar hak pelik pelik ada, gambar keluarga ada, gambar permandangan ada, gambar kasut ada, gambar seluar ada, gambar kerusi, wayar letrik, seluar denim, kuih bingka, mesin tebu, ah pendek kata macam macam gambar la yang tak tergambar. Cuma gambar porno je yang tak ada. Puas juga gua mencari. Tak berjumpa. Hi hi hi.

Lepas tu puas gua tanya orang itu orang ini tentang gambar itu gambar ini yang mana sesuai nak tampal belakang karangan gua. Tapi ada satu makwe tu, gua panggil dia 'kekasih'. Dia suruh pilih kayu. Sebab apa....



kayu byk mksd dia...
keras...
tp mdh pth..
mcm awk pemarah tp mdh reda..
tak lama...


ummm kayuu nih kuat liat...
sgt2 berguna..
mcm awk gak...




Terus gua senyum sampai ke telinga. Hi hi hi.

Ahad, 29 Mei 2011

MENEBAS

KECAK!

TA TA TA TA !

KECAK!

TA TA TA....

PRENG RENG PENG PENG...

' Hoh, hidup pun'

Peluh bertitis dari kepala ke dagu. Gua menyeka peluh yang berjejih di dahi dengan hujung lengan baju T Barisan . Selalunya baju tulah yang jadi faveret yang mana bukan sahaja gua malah hampir kesemua orang kampung. Pergi ke kebun baju tu lah, pergi menoreh baju tulah, pergi menebas baju tulah, pergi mengangkat getah baju tulah, kiranya, baju Barisan tulah yang buat kerja kerja penting penduduk Kampung Kechau Tui ni.

RENG PENG PENG PENG....

Sengaja gua biarkan mesin rumput Tanaka abah gua tu hidup lama sikit. Biar enjin dia panas dulu. Bergetar getar body mesin rumput duduk atas tanah.  Pepagi ni banyak pulak asap putih keluar dari muncung ekzos dia. Payah betul nak menyetatnya. Dah naik lenguh tangan menyentap starter tali tu. Tak jalan juga. Chock dah tarik dah. Petrol dah campur minyak hitam sikit dah. Tak mboh hidup juga. Berjera juga peluh nak menyetat mesin rumput seusia budak darjah 1 ni.

Last last, gua simbah ke Petrol atas enjin dia baru la terhenggut henggut ada nafas sikit. Dua tiga kali menyetat, barulah hidup.

Model hak Abah gua pakai


Walaupun hari masih lagi pagi, dalam pukul 9-10 macam tu, namun panas dia bukan main panas lagi. Macam dah gaya tengah hari punya panas dah gayanya gara gara menyetat enjin mesin rumput ni tadi. Setelah gua rasa suhu enjin sudah ngam, gua menyediakan kuda kuda dan menggalas mesin rumput bila kekuda gua sudah berasa mantap.

Tempat yang gua nak tebas ni tidaklah jauh dari rumah orang tua gua. Tepi rumah aja. Tapi dia punya semak mengalahkan ladang tebu dekat Cuping sana. Semak, sesemak semak. Perasaan, gajah bersarang di dalam pun kita boleh tak nampak.

Mula mula gua mesin pokok renek yang light light dulu. Mata bilah besi baru gua kikir sebaik turun ke tanah sebelah petang semalam. Jadinya kalau setakat anak anak pokok yang baru nak bercambah tu, sekali huing aja dah nampak tanah.

PRENGG..PRENGG... RENGGG

TIUNG!

Sesekali deraman mesin rumput gua menyumbang. Mata bilah besi terkena batu. Berapi juga. Gua buat derk sambil menipis sedikit ulas mata. Takut terkena batu atau serpih kayu sesat. Kalau setakat nak menebas di tepi rumah, tak payah berpakai cermin mata Rayben.

PRENG RENG TENG TENG

TA!

KECAK!

' Mati semula !!!'

Gua bertempik sedikit parau. Lalu, gua humban mesin rumput dengan rumput rumput ke dalam semak. Marah betul gua. Apa lagi yang tak kenanya. Baru 5 minit memesin mati semula.

Spirit menebas gua down. Yang naik, spirit memaki hamun. Matahari mula terik di sebelah timur. Gua kira jam dah pukul 10 lebih. Tak '5 minit' jugalah gua menebas tadi. Bisik gua dalam hati.

Dalam keadaan yang memaki hamun itu, gua duduk menghela lelah yang baru separuh guna. Tekak terasa teking, air pula tak bawak. Nak pergi ke dalam rumah karang, kena cuci kaki dulu. Malas pulak. Ya tak ya, gua duduk aja di pangkal perdu pisang.

Setelah agak lama, gua bangkit dan pergi ke arah semak tempat mesin rumput  dihumban. Dan dalam semak semak tu jugalah gua menyetat hampir sepuluh kali setat. Lenguh tangan tak sekira dah la, sampai ke tulang kipas dia tarik. Dan pada kali ke sebelas tu, gua tarik nafas dalam dalam dan sekali henjut....

PRENG PRENG PRENGG...

RENG....

Nafsu menebas gua membuak buak. Gua tak toleh belakang. Gua press kuat kuat suis mesin rumput. Berderu mata bilah besi makan batang tepus. Kaki gajah habis luka luka kena tebas.

catitkiri: takde hati gua nak post pasal bola.

Isnin, 23 Mei 2011

MELAYU, CINA, INDIA, ORANG PUTIH

Tengah hari tadi gua turun pekan Lipis. Selain pesat dengan bangunan bangun pencakar langgit, ianya juga terdapat burung merpati yang jinak jinak merpati apabila diberi sekoi dan beras. Ok, ok yang bangunan pencakar langit tu gua tipu. Tapi sebetulnya, sejak Najib penggang jadi Perdana Menteri ni, gua tengok tak banyak berubah pun Lipis ni. Nak harapkan Lipis Centrepoint tu? huuu....bangunan aja besor, maintainance tarak. Bermacam macam taik ada. Tak kucing, taik burung layang layang, taik orang, kencing orang. Semua ada.  Bodoh kayu punya MDL. Tak pandai jaga.

Sejak dah berumah jauh di kampung ni, scene turun pekan Lipis ni dah down sikit. Kalau turun pun, pasal ada hal yang mustahak mustahak je macam pergi menjual pisang, buka akaun ASB, renew road tax motor, beli mata kail, berjumpa Siti dan sebagainya yang penting penting.

Tapi kadang kadang hal yang tak mustahak pun gua jadi juga turun Lipis ni seperti mengetey bersama rakan taman perumahan dahulu, bermain snuker kalah bayar, karaoke lupa bayar dan mengurat budak sekolah menengah balik rumah.

Tadi punya cuaca memang panas terik. Panas tu dia punya tahap sampai peluh gua dari atas kepala mengalir ke pipi, terus ke dagu dan menyelinap di sebalik janggut janggut nipis lantas jatuh ke jalan tar lalu meruap menjadi wap.

Dan dalam tengah hari 'gehege' orang Lipis kabor, gua berjalan dari satu kedai ke satu kedai mencari topup selkom 5 ringgit.

Mula mula gua pergi kedai Melayu. Gua keluar sambil geleng kepala dua tiga kali. Lepas tu gua pergi kedai Cina, gua keluar sambil geleng kepala tiga empat kali. Gua masuk pula kedai India stesen bas lama, pun gua geleng kepala lima enam kali.

'Kenapa korang nak markup sampai 50 sen untuk topup harga 5 ringgit? Kepala Banaaaaarrr!!!' gua menjerit  sambil mencarik rambut betul betul bawah matahari tegak atas kepala.

Dalam badan belemin dan berpeluh peluh, gua masuk Seben-E. POW! gua terajang pintu tanda protes.

' Bang, topup Selkom 5 ringgit berapa harga?'

' err... 5 ringgit'

* * * * *



Lepas tu, lama juga gua duduk dalam kedai tu. Sejuk. Ada air-cond.

Sabtu, 21 Mei 2011

RIADAH

Petang karang, gua, Mak gua, Kak Cik gua, Kak De gua, Abang Teh gua, nak pergi memancing dekat sungai belakang rumah.

Aboh gua?

Aboh gua sakit kaki. Gula tinggi. Makan benda manis banyak sangat.

Khamis, 12 Mei 2011

CEWAH !

Besar nanti, kalau gua dah kaya sikit, gua ingat nak buka mini studio dalam rumah. Gua nak tubuh band 'Anak Beranak' dengan anak anak gua. Biar mereka tau papa diaorang ni power mengalah dari Ahmad Dani. Nanti, gua sebut apa tadi? 'PAPA'? Cewah!

Tepi mini studio tu gua nak buat ruang solat keluarga. Bila time mengaji, kami mengaji. Time sembahyang kami sembahyang.Tapi bila time gua bizikir, anak anak gua berjamming, gua tak teragak agak  berjamming sekali. Cewah!

Tapi masalahnya, team gua nak buat band 'Anak Beranak' ni tak cukup. Bini gua nak anak 2 orang aja. Tapi gua nak lebih. Tak larat nak beranak banyak banyak katanya. Cewah!

Kalau gua kata bini gua ni tak produktif untuk populasi Melayu karang dia merajuk. Yela, kalau dah dua dua orang tu jadi menteri nanti, siapa nak jadi macam gua? Lelaki rebel jalan tak tentu hala. Cewah!

Sabtu, 7 Mei 2011

MAK CIK PESOH, MAK ANDAK SIOH

Rata rata panggil Mak Cik Pesoh. Nak lebih manja sikit orang panggil Cyah. Selalunya abah gua la yang panggil macam tu. Hak belah kampung sikit panggil Choh. Rata rata sepupu gua panggil Mak Ngah Pesoh, tak pun ada yang panggil Mok Besor.


Tapi nama beliau Hapsah Idris. Tak tahu la pulak gua kiranya Habsah Idris ni ada link dengan Habsah Hassan.


Yang sorang lagi ni pula rata rata orang panggil Mak Andak. Ada orang panggil Mak Andak Sioh. Yang mana kenalan rapat tu panggil Sioh aje. Jarang orang panggil Sammy atau Siah.

Tapi nama beliau Samsiah Kerib. Tak tahu la pulak gua kiranya Samsiah Kerib ni ada link dengan Samsiah Fakeh.

Apa yang pasti, kedua dua watak di atas gua panggil mok. Tak kira la Mok Choh atau Mok Sioh. Dua dua mak gua.

Sorang yang melahirkan gua sampai berbelah perut (buat operesen). Sorang yang jaga gua lepas yang sorang tu pantang lepas operesen. Sorang ibu kandung gua. Sorang ibu angkat gua.

Dua dua gua sayang. Sayang sungguh sungguh. Bukan main main punya sayang. Sampai satu tahap, gua tak tahu nak explained sayang yang jenis tak tahu sayang yang macam mana.

Kepada yang masih ada ibu, mama, mami, umi, bonda, mak, mok tu semua, buatlah amal sebelum mereka pergi. Yang mana dah tak ada tu, doakan. Buat amal dekat dunia ni niat pahala sedekah dekat mereka.

Jangan jadi macam gua. Asyik nak menyakat mok je kerjanya.

SELAMAT HARI IBU, MOK.

Mok Choh dan Aboh. 
Cewah!


catitikiri: cilakak apesal mata gua berair ni? 

Khamis, 5 Mei 2011

BUDAK PENING

' Aok duduk Kolumpo tu baik baik sikit. Jangan buat jahat. Jangan menyakat orang'

'Yela mok.' Balas gua sambil gengam duit sepuluh ringgit.

Gua lambai dua tiga kali dekat mak gua sebelum bonceng Fahmi ke stesen bas. Zaman sekarang ni payah dah nak tengok anak lelaki Kuala Lipis peluk erat sambil cium tangan mak sendiri. Gua sorang aja. Cewah!

Gua parking sebelah pakcik berkopiah, kerusi depan sekali belakang driver. Dari segi amatan gua, pakcik ni tentu pesara orang kerja kerajaan. Dengan kemeja papan lengan panjang lining tajam, seluar slack kelabu pudar sikit, jam tangan kaler emas, kasut warna koko, baca pulak surat khabar Utusan, memang betul betul orang gomen. Tiada dakwa dakwi lagi. Orang gomen.

Gua tak jadi banyak beborak sebab pakcik berkopiah lebih berat nak baca artikel tulisan Sulaiman Kadir. Lalu, gua jadi boring tak tentu hala. Nak berborak dengan driver pulak, dia tu India. Kalau gua cakap pasal artikel 153 karang tak sedap pulak orang kabor. Jadinya gua pendamkan aja.

Tiba tiba, datang terhuyung hayang seorang mamat kurang tinggi dari arah belah belakang badan bas.

' Uncel, boleh perlahan sikit tak? Saya  pening la'

'Tak boleh, ini kalau dia tak pergi laju, sana bukit tarak boleh pergi.' Balas uncle drebar.

' Ye sunggoh kate aok terr.' Sampuk pakcik berkopiah tiba tiba.

Gua bungkam.

* * * * *

Dalam keretapi, gua duduk sebelah seorang brader ni.

' Adik ni nak pergi mana?'

' Padang Jawa, abang?'

' Nak pergi Karangkraft. Adik ni dari mana?'

'Ooo.. err, saya ni dari rumah. Lipis.'

' La Kuala Lipis? Huu... dulu abang rajin buat show dekat sana'

Train berhenti. Gua perhati brader kurus, kepala botak, dress up baju batik kuning, pekena rayben gelap terhiling hiling turun stesen Shah Alam.

Gua geleng kepala. Dalam hati gua berbisik.

'Apalah nasib artis veteran kita' 




Update: Gua lupa nak beri tahu, Brader Osman Kering main lagu Sudirman pada henset Soni dia. Kuat sungguh, sampai negro depan gua boleh terjaga tidur.