Jumaat, 18 Februari 2011

ACU 1979-2011

Dahulu, lama dahulu, gua masuk ke rumah bernombor 39. Terlihat di satu sudut, terjulur susuk kurus yang hanya mengenakan boxer cap 'sponge bob' tanpa berbaju. Itu Acu, seorang abang, tapi bukan abang gua sebetulnya. Dan dia hanyalah berbaring lemah di kerusi malas menghadap Astro. Menonton Discovery.

'Assalamualaikum'

'Waalaikumusalam...' Acu hanya mampu menjawab lemah.

'Mak kerja ke Acu?'

'Kerja, pukul 2 karang baru balik'

Suasana menjadi pana. Angin tengah hari membuatkan rumah teres sempit itu semakin membahang. Gua dan Acu tidak banyak berborak seperti sekala. Kadang kadang batuk batuk kecil Acu yang hanya memenuhi suasana hambar dan membahang itu.

Gua pandang sesusuk tubuh yang semakin melidi itu. Kulitnya semakin pudar. Dahulu otot jantannya jelas kelihatan. Sewaktu dianya masih belia. Sekarang hanya tinggal kulit dengan tulang. Pehanya sahaja sebesar lengan gua.

Mungkin dia ralat. Ya, ketika dia terpaksa meringkuk di penjara, ayahnya pergi buat selama lamanya. Dan sejak dari itu dia berubah. Dia bukan lagi Acu yang bongsu.

'Adik, bagi rokok  Acu tu' Acu mematikan lamunan gua.

Gua bingkas bangun dari persilaan dan mengambil kotak rokok di cupir almari TV. Gua perhati jenama sementara ia bertukar tangan.

Ini rokok budak budak ni. Budak sekolah gua selalu isap. Harganya murah. Orang kata ini 'rokok bola'.

Tup...Tup...Tup..

Acu menghentak hujung puntung bagi mendapatkan tembakau yang ngam. Lalu Acu mengacukan rokoknya di hujung lighter.

Gua perhati Acu sedut asap rokok dalam dalam. Sedut sungguh sungguh. Setiap genap paru parunya dipenuhi kepulan asap rokok bola.

Dada Acu berombak. Dia hanya mampu bersandar menghela lelah.

*  *  *  *  *  

Malam Jumaat lepas, Gua sekali lagi melangkah masuk ke rumah bernombor 39 itu. Gua bungkam terlihat sekujur tubuh tidak lagi seperti biasa- terjulur di kerusi malas menghadap Astro, tapi tubuhnya kini sudah di litupi kain batik lepas.

Gua selak kain batik yang menyelimuti wajahnya. Mukanya pucat lesi. Sejuk tatkala gua mencium dahinya.

Gua mengucap panjang lalu membaca Yassin untuk arwah.

Al-Fatihah.
.

6 ulasan:

izzah berkata...

muda lagi.al-fatihah.

N A N a t O berkata...

ALfatihah buat acu..

azmy shafiq berkata...

alfatihah

FaMouS berkata...

salam takziah..

arm nomi berkata...

al fatihah,,
takziah untuk acu,,smoga die tenang disana,,insyaAllah..

adek dah besar berkata...

....... (speechless)